Hari Ahad mesti diisi kalau tiada undangan majlis
perkahwinan. Hidangan majlis perkahwinan
hanya merupakan makanan jasmani sahaja.
Makanan rohaniku belum cukup. Kalau
aku pergi nanti mungkin tidak kembali lagi.
Semuanya sudah terlambat. Takkan
mati hidup semula. Mati tetap mati. Menunggu sahaja masa dihidupkan semula. Segala baik dan buruk telah dicatatkan oleh
dua maklikat. Oleh itu, tak salah aku
mengikuti kursus haji di masjid, walaupun aku sudah pergi menunaikan haji dan
umrah.
Penceramah kursus haji menceritakan ibadat tawaf. Aku cuba mengingati ibadat tawafku semasa
haji dan umrah. Panas di luar masjid
menggamitku mengelilingi Kaabah yang disapa oleh angin kering. Tiba-tiba mulutku melafazkan banyak kali
ucapan yang kulafazkan setiap kali lepas sembahyang – Subhanallah, Alhamdulillah
dan Allahuakbar, semasa aku hendak memulakan tawaf sunat menggelilingi Kaabah. Aaaadakah(tergagap-gagap)
aku sedang diuji oleh Allah SWA? Aku
terpaksa menangguhkan tawaf itu sementara kerana pandanganku dicuri oleh tiga
orang anak beranak berkulit hitam.
Seorang pemuda lelaki sedang mendukung ibunya sambil
mengheret bapanya pula di tengah lautan manusia yang sedang mengerjakan tawaf. Kepala ibu tersebut terlentuk di bahu anaknya menahan kesakitan
disondol oleh manusia yang berpusu-pusu dan tolak menolak. Air matanya membasahi kota Mekah Al-Mukaramah
kerana dijemput sebagai Tetamu Allah. Manakala suaminya yang berumur dalam
lengkungan awal 80an menjeler-jelerkan lidah sambil mengeleng-gelengkan
kepalanya kerana kepanasan.
Sandiwara ini dipersembahkan oleh Allah kepadaku untuk mencari
makna yang tersirat. Orang yang dhaif
dan miskin juga dijemput menjadi Tetamu Allah. Jemputan Allah tidak mengira
kaya atau miskin. Ianya sungguh berbeza
dengan jemputan-jemputan biasa yang kita terima. Jesteru itu, alasan mengatakan
tidak ada seruan merupakan satu metos untuk membela diri. Rembas air mataku terus menuju lopak-lopak
kasih seorang anak kepada ibu bapanya. Sementara
itu tanganku sempat membetulkan jubah yang ditiup oleh angin kering untuk
memulakan tawaf sunat.
Benakku masih tersangkut lagi dalam sandiwara tersebut. Sejukkah air mata ibu yang meleleh di bahu
anak? Panaskah anak yang mendukung ibu
dan mengheret bapanya? Sesungguhnya anak
itu mungkin dikurniakan oleh Allah kerana air mata ibu yang menitik itu sesejuk bagai
salji. Sebab itulah dia dapat
menghabiskan tawaf dengan tenang dan tidak termengah-mengah sebanyak tujuh pusingan. Mungkin dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk
menyewa kerusi roda. Panggilan Allah
mesti diutamakan kalau itulah rezeki mereka.
Adakah mereka meneruskan perbuatan yang serupa semasa syaii? Persoalan
itu pula menerjah ilusiku dengan
pandangan yang terpukau.
Aku memulakan tawaf sunat sebagai menyucikan diri yang
masih lagi kotor di mana-mana.
Pergerakanku menjadi pelahan di satu penjuru selepas Pintu
Mu’tazam. Begitulah keadaannya apabila
tiba di tapak Nabi Ibrahim dan Hijir Ismail.
Dalam masa mencari keredhaan Allah, manusia masih berhati manusia
lagi. Manusia tidak tergamam lagi dengan
gambaran manusia di Padang Mahsyar. Manusia pada masa itu digambarkan lebih
memikirkan soal diri sendiri. Manusia tidak lagi memperhitungkan fardu kifayah.
Semuanya fokus pada diri sendiri untuk ditimbang pahla dan dosa.
Rupa-rupanya
perjalanan itu tersekat-sekat disebabkan seorang perempuan istimewa sedang
menyiarap mengelilingi kaabah. Dia
menggunakan dua belah tangan dan siku menolak dirinya bergerak ke depan. Seorang gadis pembantunya meminta laluan dan mengepung Tetamu Allah yang lain. Aku dimaklumkan kemudian bahawa perempuan
istimewa ini hendak melakukannya sendiri.
Penjelasan yangku terima ini disahut dalam hati dengan Allahuakbar. Pada zahirnya laluan perempuan itu sempit dan
melata di datar Kaabah. Tapi laluan baginya dibuka seluas-luasnya oleh Allah
SWA. Tentu kita hairan dengan kejadian
yang ditunjukkan oleh Allah SWA. Allah
SWA bersama-sama dengan orang-orang yang beriman dan menyerahkan nasibnya
kepada Allah SWA. Mereka telah berikrar
dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota badannya.
Keletihan baruku rasakan setelah selesai mengerjakan
tawaf. Maklumlah berjalan mengelilingi
kaabah dalam bahang matahari terik dan panas.
Setelah minum air zam-zam, aku duduk dalam masjid sambil mengipas-ngipas
badan. Mataku memandang Kaabah yang
terpegun hitam dengan sayu. Sandiwara
hidup yangku tonton tadi diputarkan semula dalam ilusi kotak fikiranku. Nasib abah dan emak sungguh berbeza dengan tiga
beranak tadi. Masa itu aku baru bekerja
semasa umur mereka menyusur lapan puluhan tahun. Aku tidak dapat berbuat apa-apa sebagai
langkah membalas budi. Aku ingin
merasakan satu nikmat kepada abah dan emak menjadi Tetamu Allah di Tanah Suci. Biarlah mereka meratah kelebihan hidup anak-anak
setelah terbiar dalam kemiskinan sekian
lama. Tapi Allah telah menjemputnya pada
usia yang telah ditetapkan.
Aku menutup muka seketika. Gambaran-gambaran Orang Kurang Upaya pada
pandanganku bersilih ganti. Muka mereka tak
berubah langsung seperti yang pernah aku lihat.
Ada yang sedih, suggul, merana dan hiba.
Mereka cacat sejak dilahirkan.
Mereka tidak meminta cacat seperti yang dilihat. Kecacatan mereka menjadi kebencian
orang. Kebanyakan manusia memandang
jijik kepada mereka. Dia juga hamba
Allah. Kecacatan mereka telah ditentukan oleh Qada’ dan Qadar. Kecacatan mereka mungkin disengajakan oleh
Maha Pencipta untuk menguji keimanan insan yang lain. Lihatlah sandiwara yang dilakukan oleh
perempuan tadi. Dia sanggup menjelar mengelilingi Kaabah, merapatkan dirinya
dengan Allah. Sesungguhnya tiada Tuhan
yang patut disembah melainkan Allah dan bahawa sanya, Nabi Muhamad itu pesuruh
Allah.
Peristiwa-peristiwa yang baru kutonton ini bukanlah ajaib bagiku. Ianya adalah gambaran hidup yang ditayangkan dengan
berpaksikan ketaatan hamba kepada Maha Penciptanya. Tekad dan azam akan mengemudikan arah
laluan. Usaha yang tidak tahu makna
kegagalan akan menjadi pemangkin matalamat yang dirancangkan tercapai.
Seterusnya, sifat bertawakal kepada Allah SWA akan mempercepatkan lagi
perjalanan yang penuh dengan onak duri.
Tiba-tiba satu suara merisik
satu perkhabaran semasa aku berlinang memerhatikan
Kaabah. ‘ Sababattttt. Jangan cepat
gundah-gulana. Pemergian engkau di sini
adalah sebagai Tetamu Allah. Rungkaikan
masalahmu yang bersimpul mati. Inilah
satu pesan sebagai hidayahmu. Musim haji
akan tiba nanti. Kau tahukan apa nak
buat? Jadilah anak yang soleh ‘. Ingatan
itu terngiang-ngiang dalam perjalananku ke hotel penginapan.
SUARA SUBUH
Johor
S M SALIM - Ibu On Ibu
A RAHMAN - Ayah
dan Ibu
KUMPULAN REVOLVERS - Namunku
Punya Hati
Tiada ulasan:
Catat Ulasan