April 21, 2014

ATIKA JOHARI - ANGIN



                Tarikh masanya telah luput.  Geli-geman rasanya, bila terdengar orang tua menggamitkan kisah cintanya dalam ruangan ADILA atau Warkah Lukisan Qalbu.  Masaku bersama suami telah hampir 50 tahun.  50 tahun tentu berbakul-bakul pengalaman yang boleh dicurahkan.  Lidah dan gigi biasalah tergigit. Sakitnya sekejap sahaja.  Makanlah benda-benda yang lembut supaya gigi dapat mengunyah semula. Orang tua macamku memang dah patut banyak berehat dan menimba agama yang masih cetek lagi.  Aku menjatuhkan sauh diriku melabuhkan pada masa-masa yang terluang dengan kitab.  Begitulah bila dah tua, sauh qalbu diturunkan pelahan-lahan supaya air tidak terpercik.  Air mata, sudah cukup membasahi lengan bajuku yang telah udam sehingga mati nanti.  Segala-galanya dirasakan sudah malas.  Biarkanlah aku mencari mimpi pada tanah, air, api dan angin yang terbiar.  Kebetulan sekarang musim panas pula.  Angin panas sentiasa meraba qalbuku yang masih berdarah lagi.

April 18, 2014

HANA JIMI - ABAH



            Dia adalah seorang seniman.  Fikirannya sentiasa menyuluh alam semakin terang.  Justeru itu, aku tak jadi bermimpi di siang hari. Gambar-gambar kirimannya adalah realiti masyarakatku yang pincang.  Seisi alam, mungkin ketawa menyerikan lagi gambar-gambarnya.  Aku tersedu menatapi gambarnya dengan air mata.  Mungkin, dia juga tidak dapat menerimanya keriuhan dekahan manusia.  Memang, hati gajah yang diburunya lebih besar daripada hatiku yang bergelar insan.  Maklumlah, aku baru sahaja menjenguk kedewasaan, apabila aku merenung tajam hutan rimba qalbunya dalam FB.

April 09, 2014

KHAIRUDDIN ALADDIN - PAK HITAM 2



            Aku menutup novel ‘Snow Country’ oleh Yasunari Kawabata (1899-1972).  Terpikat sungguh ia menggarabkan unsur psikologi begitu baik sekali.  Betul atau tidak, ia cuba memaparkan kemurungan, kesedihan dan kehibaan Masyarakat Negara Matahari Terbit di kalanganan orang tua. Cerita ini menyebabkan aku tertoleh semula wajah bapa saudaraku Pak Hitam.

Februari 20, 2014

PINGGIRAN CINTA - CINTA SALJI



                Istana tua di musim sejuk menitiskan air mata salji.  Kepiluan terus mengetuk qalbuku menguntumkan bebunga kasih berkembang semula.  Tak sangka lebih separuh dekad  aku telah membenamkan cinta jauh di sudut  hati. Cinta tak boleh ditampi lagi, kalau cinta itu pertama dan terakhir untuk membuat pilihan.  Cinta juga tak pernah berkubur.  Ianya datang mengetuk qalbu bila tingginya meyapu  awan dan  dalamnya mencecah ke perut bumi.  Gegarannya telah mengejutkan  aku terlena dari tidur hampir  usia mencapai tujuh puluh tahun.  Nampaknya bulan tidak lagi menyuluh perjalananku yang sudah berbelit-belit.  Hanya bintang-bintang di langit sahaja yang berkelip-kelip memujuk aku bahawa sinarnya yang ada lagi.

Januari 31, 2014

WAK MISRAN



                Aku menyusuri jalan dari Ledang ke Johor Baharu.  Jalannya lurus berturapkan tar goreng bagi memendekkan satu perjalanan.  Perjalanan tersebut memang lurus, tapi telah membawa padah.  Mana tak padah, kalau sudah jatuh ditimpa tangga?  Rumahku memang tidak bertangga.  Itulah yang menyenangkan orang masuk di rumah, sepeninggalanku ke Johor Baharu.  Orang tak ada di dalam rumahku. Apa susahnya menyelongkar benda-benda dalam rumah.  Habis benda-benda dalam rumah dilarikan.  Gayanya, macamlah  cerita arahan Allahyarham P Ramlee dalam cerita Ali Baba Bujang Lapuk.  Aku bukanlah ada duit dan berharta.  Pergilah rumah orang kaya-kaya.  Duitku buat belanja pasar habis dituangnya dalam pundi gula oleh pencuri-pencuri.  MasyaAllah, penyamun terbus.  Sampainya hati kamu berbuat demikian.  Aku ke Johor Baharu kerana pembedahan buah pinggang.

S M SALIM



Muzik Latar           :               Gurindam Jiwa (kalau boleh)
Pembaca Coretan                :               Nyanyikan sepotong senikata Lagu Gurindam Jiwa

Intai padi antara masak

Esok jangan layu-layuan

Intai kami antara nampak

Esok jangan rindu-rinduan



Pembaca Coretan              :               Mula Membacakan Coretan

                Aku dah intainya sejak dulu.  Aku dah rindunya semasa zaman kanak-kanakku membuka kekudup bunga.  Intai dan rinduku hanya ilusi kanak-kanak hingusan sahaja.   Segala-galanya itu tidak terbawa-bawa dalam mimpi.   Ianya hanya tinggal sebagai satu bunga jambangan yang tidak dihiraukan tetamu.  Kegagalanku ini kerana tidak ada kasih dan sayang dalam rindu. Rinduku bagai embun menitik yang dibelai oleh matahari pagi.  Titisannya menyejukkan dan kekeringan tanpa disedari, apabila matahari mula menjenguk diri.

OMAR



            Aku mengaminkan selepas solat berjemaah zohor.  Selepas itu aku bersalaman dengan imam dan koriah masjid.  Pak Omar menyapaku dengan mengangkat mata.  ‘ Bila balik?’.  Setelah menunaikan solat sunat, aku merapati Pak Omar.  ‘ Semalam, balik dari Trengganu.  Kan rumah Pak Haji Ridzuan nak kerja kahwin.  Tak datang, putus sahabat dan jiran. Pak Omar sihat?  Sahir tinggal di mana sekarang?  Dah lama tak jumpa dia, bila masing-masing dah berumahtangga dan mempunyai keluarga ‘.