September 09, 2013

SUARA SUBUH - PUASA 2013



            Mentari masih menyorok dan bertasbih kepada Allah.  Waktu subuh yang dingin itu kucoretkan dalam perjalananku.  Langkahku semakin deras bagi menunaikan tanggungjawab kepada Maha Pencipta.  Tercungap-cungap juga rasanya bagi seorang insan yang sedang meniti usia emas masuk ke masid mengerjakan beberapa solat sunah yang jarang kutinggalkan. Segala-galanya bukannya ‘Ancaman’ seperti kita memilih antah beras.  Ianya ‘Peluang’ yang diberikan kepada kita hanya setahun sekali saja.  Sesungguhnya udara yang kita hidu itu tidak sebersih yang kita sangkakan.  Kekotorannya melekat menjadi daki yang berlapis-lapis setiap tahun.  Agak jenuh juga kita menghilangkan daki yang sudah bertahun-tahun lamanya.

ABD RAHIM ABD RAHMAN - TINGKATAN 5



                Sekolah rendah 6 tahun.  Sekolah menengah 5 tahun.  Tak jumpa 43 tahun.  Pertemuan hanya 11 tahun sahaja.  Perpisahan 43 tahun lamanya. Pertemuaan dulu sungguh menggamit kenangan.  Perasaan pilu membasahi kertas tisu yang disediakan oleh Dollah.  Bukan mengesat mulut setelah kenyang.  Tapi mengesat air mata, bila pertanyaan liar dikemukakan sahabat.  Mana Salleh, Ramlan, Zaleha Radziah dan Somali dan rakan-rakan lain yang tidak nampak muka?  Mereka pergi dulu meninggalkan kita ke alam yang kekal abadi.  Seorang rakan mengepali rakan-rakan membisikkan Al-Fatihah kepada rakan-rakan yang tiada.

LIPAT MAUT - TAKRAW



            Lumrah dunia.  Yang hilang menggamit kenangan.  Yang baru tersemat di hati.  Hujung dan pangkal sama sahaja.  Tiba masanya akan lesap.  Aku mengejanya beberapa kali dan bercakap seorang diri.  SEAP dan melarat pula kepada SEA. macam budak kecil dulu belajar mengeja.  Air mataku berjurai bila lagu Negaraku dimainkan.  Aku bukan sahaja berhempas pulas di gelanggang, tetapi ingin menyanyikan senandung Negaraku sehingga nyawa bercerai badan.  Bukan mudah aku berdiri di pentas juara sambil melambai-lambaikan tanganku. Leherku berkalong pingat kemenangan, manakala tanganku mendakap cenderamata iringan.

ADI ADIDI - PAK USU



            Azan Hari Raya membuka tirai subuh.  Sayunya mengguris kalbu sehingga lukanya berdarah semula.  Lagi pula orang tua semacam aku ini, cepat tersentuh memberikan makna yang berlainan.  Syukurlah kepada Allah kerana dapat berkumpul pada hari raya tahun ini.  Tahun lepas, aku berada di US pada pertengahan puasa dan raya.  Tahun sebelumnya aku berada di China sebelum menjelang raya.  Tahun ini, majikan agaknya kesian melihatku asyik berada di rantau orang.

ONN MOHD JAFFAR - MERDEKA 2013



                Kalau dikenang berjurailah air mata.  Hampir 50 tahun bumi kontang dengan air mata.  Dollahlah yang bersusah-payah menyiram air mata di rumahnya.  Air mata tak kira lelaki atau perempuan.  Langit cerahpun, air mata akan berderai.  Matahari menyuluhpun, hujan panas berderau turun.  Semua ketentuan Allah ini, menyebabkan kami berteleku pada hari Jumaat malam sabtu selepas Isyak. Sahabat yang jauh dan dekat mengambil peluang ini, mungkin buat pertama kalinya sepanjang umur kami .  Semuanya berasa syukur kerana Lailatulqadar berlaku lagi semasa raya.

MANJAF - MENJELANG PUASA



                Tahun 60han menggamit kenanganku.  Tak sangka masa begitu cepat membuat pucutan akhir dalam bulan puasa.  Takkan orang lelaki nak duduk diam.  Orang perempuan pula bersengkang mata membuat kuih dan menjahit baju anak-anak.  Melayan anak-anak cukup susah semasa aku baru mendirikan rumahtangga.  Mereka mahu memeriahkan raya dengan zaman klasik juga.  Kalau tidak, masa yang pergi terus hilang.  Biarlah  baju  sehelai  dua  sahaja.  Biarlahlah  kuih alah kadar sahaja.  Mereka tak mahu ‘ tunjuk-tunjuk ‘ saja.  Kalau boleh mak yang jahitkan.  Kalau boleh, kuih emak yang buat.

AZMAN JAFFAR - MENJELANG PUASA 2013



Puasa datang lagi.  Ketibaannya tenang dan berkocak-kocak dalam mindaku.  Riaknya seperti satu bulatan.  Macam batu tercampak di air. Tempat yang jatuh kurasakan kuat riaknya.  Semakin  jauh, riaknya semakin pelahan dan terus hilang.  Aku cuba mencantumkan perca-perca puasa untuk dijerumat dan dicantum-cantumkan menjadi sebuah coretan untuk dikongsi bersama.  Kisah hidup ini digalas oleh adik-beradikku semasa bulan puasa di kampung.