Aku tahu, tapiii sebenarnya
aku tidak tahu. Kalaulah aku sebenarnya
tidak tahu, maka sememangnya aku tidak tahu.
Tahu dan tak tahu itu adalah konflik dalam diriku. Adakah konflik itu, patut aku humbankan jauh
sebagai mencari jalan penyelesaian? Kalau
malas berfikir, aku benamkan sahaja konflik itu dalam sejarah hidupku? Tapi, rakan-rakanku pula mengesyorkan bahawa
konflik diriku patut dititipkan dalam Warkah Lukisan Qalbu, sebelum diriku berakhir
dengan kematian. Perasaan diriku tidak lega lagi, kalau konflik berlapis-lapis
dalam kehidupanku. Qalbu akan berkecamuk dengan satu keputusan yang dibuat
kurang maklumat. Kita boleh menuju ke
satu destinasi, tetapi maklumat biasanya memimpin matlamatku dengan lebih jelas.
Mei 26, 2014
April 21, 2014
ATIKA JOHARI - ANGIN
Tarikh masanya telah luput. Geli-geman rasanya, bila terdengar orang tua
menggamitkan kisah cintanya dalam ruangan ADILA atau Warkah Lukisan Qalbu. Masaku bersama suami telah hampir 50 tahun. 50 tahun tentu berbakul-bakul pengalaman yang
boleh dicurahkan. Lidah dan gigi
biasalah tergigit. Sakitnya sekejap sahaja.
Makanlah benda-benda yang lembut supaya gigi dapat mengunyah semula. Orang
tua macamku memang dah patut banyak berehat dan menimba agama yang masih cetek
lagi. Aku menjatuhkan sauh diriku melabuhkan
pada masa-masa yang terluang dengan kitab.
Begitulah bila dah tua, sauh qalbu diturunkan pelahan-lahan supaya air
tidak terpercik. Air mata, sudah cukup
membasahi lengan bajuku yang telah udam sehingga mati nanti. Segala-galanya dirasakan sudah malas. Biarkanlah aku mencari mimpi pada tanah, air,
api dan angin yang terbiar. Kebetulan sekarang
musim panas pula. Angin panas sentiasa meraba
qalbuku yang masih berdarah lagi.
April 18, 2014
HANA JIMI - ABAH
Dia adalah seorang
seniman. Fikirannya sentiasa menyuluh
alam semakin terang. Justeru itu, aku
tak jadi bermimpi di siang hari. Gambar-gambar kirimannya adalah realiti
masyarakatku yang pincang. Seisi alam,
mungkin ketawa menyerikan lagi gambar-gambarnya. Aku tersedu menatapi gambarnya dengan air
mata. Mungkin, dia juga tidak dapat
menerimanya keriuhan dekahan manusia. Memang,
hati gajah yang diburunya lebih besar daripada hatiku yang bergelar insan. Maklumlah, aku baru sahaja menjenguk kedewasaan,
apabila aku merenung tajam hutan rimba qalbunya dalam FB.
April 09, 2014
KHAIRUDDIN ALADDIN - PAK HITAM 2
Aku menutup novel ‘Snow
Country’ oleh Yasunari
Kawabata (1899-1972). Terpikat sungguh
ia menggarabkan unsur psikologi begitu baik sekali. Betul atau tidak, ia cuba memaparkan
kemurungan, kesedihan dan kehibaan Masyarakat Negara Matahari Terbit di kalanganan
orang tua. Cerita ini menyebabkan aku tertoleh semula wajah bapa saudaraku Pak
Hitam.
Februari 20, 2014
PINGGIRAN CINTA - CINTA SALJI
Istana
tua di musim sejuk menitiskan air mata salji.
Kepiluan terus mengetuk qalbuku menguntumkan bebunga kasih berkembang
semula. Tak sangka lebih separuh dekad aku telah membenamkan cinta jauh di sudut hati. Cinta tak boleh ditampi lagi, kalau
cinta itu pertama dan terakhir untuk membuat pilihan. Cinta juga tak pernah berkubur. Ianya datang mengetuk qalbu bila tingginya
meyapu awan dan dalamnya mencecah ke perut bumi. Gegarannya telah mengejutkan aku terlena dari tidur hampir usia mencapai tujuh puluh tahun. Nampaknya bulan tidak lagi menyuluh
perjalananku yang sudah berbelit-belit.
Hanya bintang-bintang di langit sahaja yang berkelip-kelip memujuk aku
bahawa sinarnya yang ada lagi.
Januari 31, 2014
WAK MISRAN
Aku menyusuri jalan dari Ledang ke
Johor Baharu. Jalannya lurus berturapkan
tar goreng bagi memendekkan satu perjalanan.
Perjalanan tersebut memang lurus, tapi telah membawa padah. Mana tak padah, kalau sudah jatuh ditimpa
tangga? Rumahku memang tidak bertangga. Itulah yang menyenangkan orang masuk di
rumah, sepeninggalanku ke Johor Baharu.
Orang tak ada di dalam rumahku. Apa susahnya menyelongkar benda-benda
dalam rumah. Habis benda-benda dalam
rumah dilarikan. Gayanya, macamlah cerita arahan Allahyarham P Ramlee dalam
cerita Ali Baba Bujang Lapuk. Aku bukanlah
ada duit dan berharta. Pergilah rumah
orang kaya-kaya. Duitku buat belanja
pasar habis dituangnya dalam pundi gula oleh pencuri-pencuri. MasyaAllah, penyamun terbus. Sampainya hati kamu berbuat demikian. Aku ke Johor Baharu kerana pembedahan buah
pinggang.
S M SALIM
Muzik
Latar : Gurindam Jiwa (kalau boleh)
Pembaca
Coretan : Nyanyikan sepotong senikata Lagu Gurindam
Jiwa
Intai padi antara
masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Pembaca Coretan : Mula Membacakan Coretan
Aku dah intainya sejak dulu. Aku dah rindunya semasa zaman kanak-kanakku
membuka kekudup bunga. Intai dan rinduku
hanya ilusi kanak-kanak hingusan sahaja.
Segala-galanya itu tidak terbawa-bawa dalam mimpi. Ianya hanya
tinggal sebagai satu bunga jambangan yang tidak dihiraukan tetamu. Kegagalanku ini kerana tidak ada kasih dan
sayang dalam rindu. Rinduku bagai embun menitik yang dibelai oleh matahari
pagi. Titisannya menyejukkan dan kekeringan
tanpa disedari, apabila matahari mula menjenguk diri.
Langgan:
Catatan (Atom)