September 15, 2014

ONN MOHD JAAFAR - KAWAN LAMA (ALI)



                Macam-macam aku berdoa semasa sujud terakhir dalam solat semasa bulan Ramadhan.  Fadilat orang berpuasa bulan Ramadhan digamitkan oleh tokoh-tokoh agama di televisyen dan radio.  Aku berdoa tanpa jemu walaupun doaku ini tidak nampak lagi bayangannya.  Aku tetap percaya dengan janjiNYA.  ‘ Lambat atau cepat, AKU akan makbulkan doamu, selagi engkau meminta denganKU.  Sesungguhnya lambat atau cepat ini adalah ujian ke atas orang yang beriman ‘. 

SUARA SUBUH - GERHANA



                Memang tak suka diganggu.  Lebih-lebih lagi bila aku tengah tidur.  Mak kejut aku daripada tidur.  Baru saja tidur dan mata susah nak buka.  Aku duduk sahaja dengan mata yang masih kejam.  Tolong mak.  Nanti bila habis boleh tidur semula.  Emak suruh aku goyang pokok sekeliling rumah.  Ayam berketok-ketok semasa aku menyergah reban ayam.  Baru aku tahu bahawa ayam ni tak tidur semalaman.  Adakah ayam ni sentiasa bertasbih kepada Allah?  Atau membenarkan kata atuk dan nenekku – Tidur-tidur ayam? 

AZMAN JAFFAR - MUQQADAM



            Tak mungkin… Tak mungkin aku berundur semula. Biarlah perjalananku meninggalkan kesan dua tapak kakiku. Mungkin kesan sejarah itu akan disusuri oleh cucu-cucuku nanti. Bahawasanya atuknya dulu berasal daripada BUDAK KAMPUNG. Membesar juga sebagai anak kampung. Dah tua pula sebagai orang kampung. Sejak dula lagi bila menguak daripada perut ibu, aku telah dibesarkan menghadapi DILEMA BUDAK KAMPUNG. Payah menjadi BUDAK KAMPUNG. Hidupku sentiasa dibatasi dengan pagar-pagar buatan manusia. Mereka terlupa bahawa kejadianku ini adalah sebagai ujian daripada Allah. Sesampainya pula aku di pusat pengajian tinggi, terbuktilah bahawa aku adalah BUDAK KAMPUNG. Kawan-kawan dan pelajar-pelajar seniorku lebih mesra memanggil aku, BUDAK KAMPUNG.

Mei 26, 2014

ALI DAUD - WLQ



                Aku tahu, tapiii sebenarnya aku tidak tahu.  Kalaulah aku sebenarnya tidak tahu, maka sememangnya aku tidak tahu.  Tahu dan tak tahu itu adalah konflik dalam diriku.  Adakah konflik itu, patut aku humbankan jauh sebagai mencari jalan penyelesaian?  Kalau malas berfikir, aku benamkan sahaja konflik itu dalam sejarah hidupku?  Tapi, rakan-rakanku pula mengesyorkan bahawa konflik diriku patut dititipkan dalam Warkah Lukisan Qalbu, sebelum diriku berakhir dengan kematian. Perasaan diriku tidak lega lagi, kalau konflik berlapis-lapis dalam kehidupanku. Qalbu akan berkecamuk dengan satu keputusan yang dibuat kurang maklumat.  Kita boleh menuju ke satu destinasi, tetapi maklumat biasanya memimpin matlamatku  dengan lebih jelas.

April 21, 2014

ATIKA JOHARI - ANGIN



                Tarikh masanya telah luput.  Geli-geman rasanya, bila terdengar orang tua menggamitkan kisah cintanya dalam ruangan ADILA atau Warkah Lukisan Qalbu.  Masaku bersama suami telah hampir 50 tahun.  50 tahun tentu berbakul-bakul pengalaman yang boleh dicurahkan.  Lidah dan gigi biasalah tergigit. Sakitnya sekejap sahaja.  Makanlah benda-benda yang lembut supaya gigi dapat mengunyah semula. Orang tua macamku memang dah patut banyak berehat dan menimba agama yang masih cetek lagi.  Aku menjatuhkan sauh diriku melabuhkan pada masa-masa yang terluang dengan kitab.  Begitulah bila dah tua, sauh qalbu diturunkan pelahan-lahan supaya air tidak terpercik.  Air mata, sudah cukup membasahi lengan bajuku yang telah udam sehingga mati nanti.  Segala-galanya dirasakan sudah malas.  Biarkanlah aku mencari mimpi pada tanah, air, api dan angin yang terbiar.  Kebetulan sekarang musim panas pula.  Angin panas sentiasa meraba qalbuku yang masih berdarah lagi.

April 18, 2014

HANA JIMI - ABAH



            Dia adalah seorang seniman.  Fikirannya sentiasa menyuluh alam semakin terang.  Justeru itu, aku tak jadi bermimpi di siang hari. Gambar-gambar kirimannya adalah realiti masyarakatku yang pincang.  Seisi alam, mungkin ketawa menyerikan lagi gambar-gambarnya.  Aku tersedu menatapi gambarnya dengan air mata.  Mungkin, dia juga tidak dapat menerimanya keriuhan dekahan manusia.  Memang, hati gajah yang diburunya lebih besar daripada hatiku yang bergelar insan.  Maklumlah, aku baru sahaja menjenguk kedewasaan, apabila aku merenung tajam hutan rimba qalbunya dalam FB.

April 09, 2014

KHAIRUDDIN ALADDIN - PAK HITAM 2



            Aku menutup novel ‘Snow Country’ oleh Yasunari Kawabata (1899-1972).  Terpikat sungguh ia menggarabkan unsur psikologi begitu baik sekali.  Betul atau tidak, ia cuba memaparkan kemurungan, kesedihan dan kehibaan Masyarakat Negara Matahari Terbit di kalanganan orang tua. Cerita ini menyebabkan aku tertoleh semula wajah bapa saudaraku Pak Hitam.

Februari 20, 2014

PINGGIRAN CINTA - CINTA SALJI



                Istana tua di musim sejuk menitiskan air mata salji.  Kepiluan terus mengetuk qalbuku menguntumkan bebunga kasih berkembang semula.  Tak sangka lebih separuh dekad  aku telah membenamkan cinta jauh di sudut  hati. Cinta tak boleh ditampi lagi, kalau cinta itu pertama dan terakhir untuk membuat pilihan.  Cinta juga tak pernah berkubur.  Ianya datang mengetuk qalbu bila tingginya meyapu  awan dan  dalamnya mencecah ke perut bumi.  Gegarannya telah mengejutkan  aku terlena dari tidur hampir  usia mencapai tujuh puluh tahun.  Nampaknya bulan tidak lagi menyuluh perjalananku yang sudah berbelit-belit.  Hanya bintang-bintang di langit sahaja yang berkelip-kelip memujuk aku bahawa sinarnya yang ada lagi.

Januari 31, 2014

WAK MISRAN



                Aku menyusuri jalan dari Ledang ke Johor Baharu.  Jalannya lurus berturapkan tar goreng bagi memendekkan satu perjalanan.  Perjalanan tersebut memang lurus, tapi telah membawa padah.  Mana tak padah, kalau sudah jatuh ditimpa tangga?  Rumahku memang tidak bertangga.  Itulah yang menyenangkan orang masuk di rumah, sepeninggalanku ke Johor Baharu.  Orang tak ada di dalam rumahku. Apa susahnya menyelongkar benda-benda dalam rumah.  Habis benda-benda dalam rumah dilarikan.  Gayanya, macamlah  cerita arahan Allahyarham P Ramlee dalam cerita Ali Baba Bujang Lapuk.  Aku bukanlah ada duit dan berharta.  Pergilah rumah orang kaya-kaya.  Duitku buat belanja pasar habis dituangnya dalam pundi gula oleh pencuri-pencuri.  MasyaAllah, penyamun terbus.  Sampainya hati kamu berbuat demikian.  Aku ke Johor Baharu kerana pembedahan buah pinggang.

S M SALIM



Muzik Latar           :               Gurindam Jiwa (kalau boleh)
Pembaca Coretan                :               Nyanyikan sepotong senikata Lagu Gurindam Jiwa

Intai padi antara masak

Esok jangan layu-layuan

Intai kami antara nampak

Esok jangan rindu-rinduan



Pembaca Coretan              :               Mula Membacakan Coretan

                Aku dah intainya sejak dulu.  Aku dah rindunya semasa zaman kanak-kanakku membuka kekudup bunga.  Intai dan rinduku hanya ilusi kanak-kanak hingusan sahaja.   Segala-galanya itu tidak terbawa-bawa dalam mimpi.   Ianya hanya tinggal sebagai satu bunga jambangan yang tidak dihiraukan tetamu.  Kegagalanku ini kerana tidak ada kasih dan sayang dalam rindu. Rinduku bagai embun menitik yang dibelai oleh matahari pagi.  Titisannya menyejukkan dan kekeringan tanpa disedari, apabila matahari mula menjenguk diri.

OMAR



            Aku mengaminkan selepas solat berjemaah zohor.  Selepas itu aku bersalaman dengan imam dan koriah masjid.  Pak Omar menyapaku dengan mengangkat mata.  ‘ Bila balik?’.  Setelah menunaikan solat sunat, aku merapati Pak Omar.  ‘ Semalam, balik dari Trengganu.  Kan rumah Pak Haji Ridzuan nak kerja kahwin.  Tak datang, putus sahabat dan jiran. Pak Omar sihat?  Sahir tinggal di mana sekarang?  Dah lama tak jumpa dia, bila masing-masing dah berumahtangga dan mempunyai keluarga ‘.

KAK NENG 2



            Al-Fatihah buat Allahyarhamah.  Sesungguhnya, Laut Cina Selatan menjadi halangan kita berjumpa buat kali terakhir.  Kerinduanmu, bukannya satu kepura-puraan.  Kerinduanmu telahkau rasakan nyawa bercerai badan.  Memang telah aku sangkakan sejak kita bertemu.  Matamu memandang tegak ke arah syiling rumah tanpa berkelip-kelip.  Tapak kakimu kugaru-garu tidak memberikan reaksi.  Sekali-sekali nafasmu membuatkan aku cemas.  Seringkali turun naik, macam orang hendak menghembuskan nafas terakhir.  ‘ Telefonkan pakcik engkau.  Apakah salah emak kepadanya?  Emak rindu dengannya.  Rindu orang tua nak ‘, kata Kak Neng semasa masih boleh bercakap lagi.

SUBUH



            Subuh cuba membentisku berjalan pantas.  Aku hampir terjatuh dalam menyusun langkah.  Di pertengahan jalan kalimah Subhanallah tidak lagi bergamit di mulutku.  Mungkin terbenam sahaja di dalam hati.  Bukankah janji aku masih sesegar seperti lagu klasik Malar Segar.  Sesungguhnya solat dan ibadahku, hidup dan matiku, hanyalah untuk Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam.  Memang, matinya lafazku nanti tiada bernisan.  Tetapi, ianya tetap subur setelah aku terjumpa perkataan ‘Solat’ lebih 70 kali dalam Al-Quran.

CINTA SALJI



                Istana tua di musim sejuk menitiskan air mata salji.  Kepiluan terus mengetuk qalbuku menguntumkan bebunga kasih berkembang semula.  Tak sangka lebih separuh dekad  aku telah membenamkan cinta jauh di sudut  hati. Cinta tak boleh ditampi lagi, kalau cinta itu pertama dan terakhir untuk membuat pilihan.  Cinta juga tak pernah berkubur.  Ianya datang mengetuk qalbu bila tingginya meyapu  awan dan  dalamnya mencecah ke perut bumi.  Gegarannya telah mengejutkan  aku terlena dari tidur hampir  usia mencapai tujuh puluh tahun.  Nampaknya bulan tidak lagi menyuluh perjalananku yang sudah berbelit-belit.  Hanya bintang-bintang di langit sahaja yang berkelip-kelip memujuk aku bahawa sinarnya yang ada lagi.

TUA



            Gelisah semakin tua mengocak jiwaku di waktu senja. Lelangit merah menyembunyikan perasaanku yang semakin lesu.  Sajian alam yang dihidangkn oleh Yang Maha Kuasa dipandang dengan seribu erti oleh insan yang mula sujud dan rebah ke bumi.   Pintu-pintu alam yang semakin sempit kurasakan, dalam kepekatan usia manusia yang menjulurkan diri masing-masing di celah-celah lubang.  Aku meraba-raba dalam senja merah yang garang itu, mencari pintu masuk.  Semua manusia menggempur pintu masuk yang cuma satu itu supaya sampai ke satu tempat yang ditujui.  Jangkaan manusia tersalah andaian rupanya, bila  senja menebarkan kegelapan yang tiada berbayang lagi.  Teori klasik manusia hanya digunapakai buat sedetik waktu sahaja.  Sepatutnya sebelum kehadiran senja, manusia telah bersedia seperti yang ditintakan oleh Maha Yang Berkuasa.

UPSR



Esok akan diumumkan.  Anak Azi pasti mengukir senyuman lebih panjang daripada ibunya. Doa ibu bapanya telah menjadi seutus kalong azimat  setiap hari.  Azi tetap meminta aku berdoa semoga mereka sekeluarga boleh melemparkan senyuman seperti orang lain.  Doa sahaja tak cukup.  Aku panjangkan pula dalam Solat Hajat.  Nadiah adalah cucuku.  Aku ingin Nadiah menjadi macam ibunya.  Biarlah Nadiah memulakan satu contoh yang terbaik dalan keluarga Azi.  Lain kali, adik-adik Nadiah akan mengikut jalan-jalan yang telah dipancangkan oleh Nadia.

PISANG



                Tak cukup tangan dibuatnya.  Ada sayur kampung.  Ada ikan pekasam. Ada pisang dan lain-lain lagi.  Kesian isteriku.  Sampai genting-genting jari membimbit beg plasik.  Aku bukan tak mahu ikut.  Nak dengar songel Penerbit Radio Klasik.  Tak ikut salah.  Ikut merana badan.  ‘ Buat apa tu bang?  Kenapa abang suka minum air manis.  Takuttt bang.  Dah bersara ni, baru dapat kencing manis.  Selisih Malikat 44.  Dah potong sana-sini, barulah abang menyesal.  Tak guna lagi.  Nasi telah menjadi bubur ‘, kata isteriku sambil merasa air dalam cawanku.

SUNGAI BRISBANE



            Semester universiti tamat seketika.  Musim cuti yang panjang telah aku bahagi-bahagikan di New Zealand dan Australia.  Bakinya aku terperap di apartmen bersama kawan-kawan.  Sekali-sekali aku melontar pandangan keluar jendela ke Sungai Brisbane yang berdekatan dengan Universiti Queensland.  Di Queensland pun banjir kalau hujan lebat.  Bila air di kuala sungai penuh dan melempah, tempiasnya terkena juga Universiti Queensland.  Kadang-kadang banjir berlaku juga apabila empangan Sungai Brisbane dibuka oleh pihak berkuasa.  Air melempah menyebabkan universitiku juga turut banjir.  Begitulah agaknya peringatan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya. Sekiranya antara kita masih tidak melafazkan kesyukuran, tunggulah dan lihatlah nanti. Aku mengambil kesempatan menyedarkan bangsaku di Malaysia, bahawa banjir berlaku di mana-mana sahaja dengan kehendak Allah sebagai satu ujian.