April 28, 2013

PASANGAN BUTA



          Sepasang merpati menjadi perhatianku.  Dah lamaku intip gelagatnya.  Nak tangkap tak dapat kerana terlepas lari. Nantiku adukan kepada Jabatan Agama Islam. Tak segan ke kalau berpegang-pegang tangan di tengah bandar. Cubalah anak-anak tenguk kelakuan ibu bapanya, tentu segan nak letak muka.  Masih tak faham-faham lagi. Rumah kata pergi, kubur kata mari.  Begitulah aku perhatikan pasangan merpati tua dari jauh.

          Hari itu merpati tua terpandang lagi.  Kali ini mereka sedang melintas jalan.  Sang isteri mengheret suaminya melintas jalan.  Sang suami tersenyum malu kerana perihal isterinya yang tidak muak membelainya macam pengantin baru. Kenderaan-kenderaan di jalan raya memberi hormat mereka melintas.  Sang suami hanya tersenyum dengan matanya yang kejam disebabkan panahan cahaya mata hari. Sememangnya mereka dah tua tapi umur mereka dalam lengkungan awal 70han.
          Satu hari aku terserempak lagi dengan pasangan tersebut.  Aku cepat-cepat meletakkan kereta di petak letak kereta.  Aku mengajak pakcik dan makcik bersarapan di warung.  Mereka tidak menolak pelawaanku.  Aku bercerita panjang sambilku tuliskan dalam buku kecil untuk dibuat coretan dalam ADILA.  Pakcik dan makcik memang tak kenal ADILA, tapi kalau mereka hanya kenal ADUH LAH macam promo Klasik Nasional.
          Pakcik dan makcik berumahtangga dalam usia warga emas.  Pakcik berkahwin selepas ibu bapanya meninggal dunia.  Sementara makcik pula berkahwin selepas suaminya meninggal dunia tanpa anak. Walaupun hidupnya tidak seperti orang lain tetapi mereka bahagia walaupun kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.  Jodohnya dengan makcik tidak pernah terfikir dalam benak hatinya.  Rupa-rupanya mereka masih mencintai antara satu sama lain.  Cinta-cintan wargaemas lebih dahsyat daripada cinta zaman remaja.
          Cinta tidak mengenal orang cacat.  Cita tak mengenal harta atau miskin.  Cinta adalah perasaan halus dalam diri seseorang yang dikongsikan bersama oleh seseorang sepanjang usia.  Sebab itulah makcik sanggup mengherit pakcik ke Baitul Maal, Pejabat Kebajikan Masyarakat dan lain-lain untuk mendapat sesuap nasi.  Biarlah pengguna jalan raya marah dengan kami.  Kami reda dengan api kemarahan yang menjulang tinggi sehingga menyuluh masyarakat melihat bayang-bayang kami sebenarnya.
          Makcik tiada pilihan lain memilih pakcik sebagai teman hidup.  Makcik tahu bahawa pakcik tidak dapat memberikan kebahagian rumahtangga dalam keadaan matanya yang buta kedua-dua belah.  Rumahtangga kami bersandarkan kepada soal hati.  Mata pakcik buta selama-lamanya, tetapi hati pakcik merindui makcik buat selama-lamanya.  Dia tidak kenal soal kecantikan manusia.  Dia tidak kenal budi bicara seorang.  Baginya makciklah segala-galanya.  Makciklah yang sentiasa menggamit kenangan bersama-samanya.
          Pernahkah anak terpandang kami di kaki lima kedai meminta sedekah sambil mengaji atau bermain alat muzik?  Pakcik mengharamkan perbuatan itu berlaku pada kami.  Kami tak rela walaupun kita pernah mendengar peribahasa ada mengatakan bahawa tangan kanan yang memberi tetapi tangan kiri tidak tahu apa yang berlaku.  Kami cari makan dengan menjual keropok, anyaman dan kuih-kuih kering. Pengorbana kami biasanya tak balik dengan tangan kosong.
          Pakcik mendengar cerita isterinya dengan senyum.  Sesekali dia membuka matanya yang kelihatan keputihan.  Aku memasang telinga dan mencoretkan dalam buku kecil.  Selamai ini aku tak kenalpun sepasang merpati tua ini.  Kata bidalan Melayu lama, tak kenal maka tak cinta.  Cerita-cerita pakcik dan makcik mula menunaskan cinta dalam hatiku.  Biarlah pasangan merpati tua ini bebas sebebasnya terbang rendah mencari makan.  Jinak-jinak burung merpati  bila dekat ditangkap lari.  Terima kasih pakcik dan makcik.  Ceritmu adalah ceritaku. Ceritamu itu akan kupahatkan dalam ADILA  yang asing bagimu.
         
KHAIRUDDIN ALADDIN
Jalan Temenggong Ahmad
Johor

Lagu-lagu Pilikan
Ismail Kassim dan Asiah                                -           Seiya Sekata
A Rahman                                                       -           Cari Isteri
Ismail Kassim dan Asiah                                -           Panduan Kasih

1 ulasan:

  1. ADILA syabas krn berjasa membuat penyampaian yang baik dan mudah diterima.. kisah2 yang remeh yang dipandang sepi masyarakat yang amat sibuk dengan kesuntukan waktu ini pastinya akan memberi sedikit sebanyak pengajaran suatu ketika nanti.. assalamualaikum

    BalasPadam